NAYPYIDAW - MYANMAR. Ketua Komander Angkatan Tentera Myanmar berkata, beliau akan menghormati sebarang keputusan pilihan raya negara itu bagi mengurangkan kebimbangan berhubung potensi campur tangan tentera dalam mempengaruhi undian.

"Saya akan hormati keputusan itu jika mereka menang secara adil.

"Saya percaya pilihan raya kali ini akan lebih bebas dan adil. Ia adalah hasrat seluruh rakyat dan kami komited untuk menjadikannya satu kenyataan," kata Jeneral Min Aung Hlaing.

Menurutnya, beliau akan kekal sebagai ketua tentera sehingga bersara pada tahun depan, namun tidak menolak untuk menjadi presiden jika diminta memegang jawatan tertinggi itu.

"Jika perlu, kami bersedia berkhidmat untuk negara menerusi apa sahaja peranan kerana ia adalah sebahagian daripada politik negara. Jika diminta menjadi presiden, saya akan membuat keputusan kemudian," katanya.

Kira-kira 30 juta pengundi dijangka keluar mengundi pada pilihan raya 8 November depan.

Pilihan raya juga akan menentukan nasib tiga suku daripada kerusi di Parlimen, di mana 25 peratus daripada kerusi dikhaskan untuk ahli parlimen tentera tidak dilantik. - Press TV