PADANG BESAR - Seramai 22 warga Myanmar mengambil masa 10 hari melalui jalan darat untuk ke Malaysia namun diberkas tidak lama selepas menceroboh masuk melalui pagar sempadan di ladang tebu Chuping di sini hari ini.

Menurut Komander UPP Perlis, Deputi Superintendan Syed Basri Syed Ali, pendatang asing tanpa izin (Pati) terbabit berumur 16 hingga 37 tahun termasuk seorang wanita diberkas kira-kira tiga kilometer dari pagar sempadan jam 4.30 pagi.

Semasa diberkas mereka berada dalam satu kumpulan, dipercayai menunggu tekong darat mengambil mereka untuk dibawa ke Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat UPP Chuping di sini hari ini.

Beliau berkata Pati berkenaan yang disoal siasat mengaku membayar ejen di Myanmar sebanyak RM3,000 selain datang dari daerah berlainan di Yangoon untuk membawa mereka ke Sadao, Thailand dengan menaiki bas.

"Dengan bantuan ejen Thailand, mereka berjalan kaki dari Sadao masuk ke hutan dan memasuki Malaysia semasa umat Islam berbuka puasa setelah memotong pagar keselamatan kira-kira jam 7.30 malam tadi.

"Mereka tidak mengesyaki apa-apa semasa didatangi sepasukan anggota UPP Chuping yang meronda, mereka terus diberkas dan diserah kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut," kata Syed Basri.

Menurutnya Pati tersebut melalui seorang rakan mereka yang boleh berbahasa Melayu kerana pernah bekerja selama tiga tahun di negara ini memberitahu, mereka dijanjikan pekerjaan sebagai buruh binaan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Dalam kes lain, anggota UPP Chuping menemui sebuah motosikal Honda EX-5 menggunakan nombor pendaftaran KAL 8148 ditinggalkan terbalik bersama dua guni daun ketum seberat 71 kilogram di ladang tebu Chuping kira-kira jam 11.20 malam tadi (8 Julai).

Syed Basri berkata, penunggang motosikal terbabit dipercayai meninggalkan motosikalnya setelah dipercayai terbabas kerana melarikan diri daripada UPP yang sedang meronda.

Beliau percaya daun ketum tersebut untuk diseludup ke Thailand kerana mendapat permintaan tinggi dan harga RM80 untuk satu kilogram yang menguntungkan penyeludup. - Bernama