LANGKAWI - Seramai 12 warga Myanmar, yang ditemui hanyut berdekatan perairan Langkawi minggu lepas, memasuki Malaysia secara sah namun kehilangan dokumen perjalanan selepas kapal layar mereka karam.
  
Ketua Polis Daerah Langkawi, Superitendan Dr Che Ghazali Che Awang hari ini berkata, siasatan mendapati mereka menggunakan pasport yang sah untuk memasuki Pulau Pinang atas urusan perniagaan pada 5 Julai lepas.
  
"Pada 20 Julai, kira-kira 6 petang, kapal layar mereka karam akibat dipukul ombak kuat semasa belayar balik ke Myanmar dan kesemua dokumen perjalanan mereka hilang dalam kejadian itu," katanya pada sidang media di sini.
  
Menurutnya kumpulan pelayar itu hanyut ke perairan Langkawi dan ditemui nelayan tempatan kira-kira satu batu nautika dari Pulau Tuba di sini pada keesokannya.
  
Kesemua warga Myanmar itu ditempatkan sementara di bawah jagaan polis di sini bagi menyelesaikan siasatan berhubung kehadiran mereka sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen hari ini untuk urusan penghantaran pulang. - Bernama