Monday 28 April 2014

Obama beri amaran Myanmar menuju keburukan


KUALA LUMPUR 27 April - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama memberi amaran konflik etnik dan agama, terutamanya penindasan ke atas umat Islam di Myanmar boleh menyebabkan negara itu menuju ke 'arah keburukan'.
Obama, bagaimanapun memuji pembaharuan politik di negara bekas pentadbiran tentera itu, tetapi penindasan yang berlaku sejak beberapa tahun lalu di Myanmar, meletakkan program pembaharuan demokrasi yang cuba dicapai oleh Myanmar berada dalam bahaya.
Jelasnya, jika rakyat mula melaksanakan pergerakan politik berasaskan etnik atau agama, konflik boleh tercetus, sekali gus membawa Myanmar ke arah keburukan.
"Myanmar tidak akan berjaya jika penduduk Islam ditindas dan proses demokrasi juga dalam bahaya kerana terdapat pelbagai kumpulan etnik dan agama di negara tersebut.
"Dalam krisis di Myanmar, nasib penduduk minoriti Islam tidak dibela dan hak mereka juga tidak dilindungi," katanya ketika merujuk nasib etnik Islam Rohingya di Rakhine yang menjadi mangsa kekejaman aktivis Buddha.
Myamnar dilanda konflik etnik dan agama sejak beberapa tahun lalu sehingga mengakibatkan kira-kira 250 orang terbunuh akibat persengketaan antara penduduk Islam dan Budha sejak 2012.
Pada November 2012, Obama mengadakan lawatan bersejarah ke Myanmar dan menawarkan sokongan kuat kepada kerajaan di bawah pimpinan Presiden Thein Sein yang mahu melaksanakan pembaharuan politik dan melaksanakan demokrasi di negara itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140428/lu_02/Obama-beri-amaran-Myanmar-menuju-keburukan#ixzz3083A0BsX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Saturday 26 April 2014

Penduduk Rohingya makin menderita

Penduduk Rohingya makin menderita
Penduduk Islam Rohingya kini terpaksa hidup menderita akibat kekurangan bekalan makanan, air dan ubat-ubatan. 
26 April 2014 YANGON - MYANMAR. Pekerja bantuan antarabangsa memaklumkan penduduk Islam Rohingya kini terpaksa tinggal dalam keadaan bersesak-sesak di kem pelarian selain mengalami masalah kekurangan bekalan makanan, air minuman dan ubat-ubatan.

Kelmarin, sukarelawan dari Doctors Without Borders (MSF) mendedahkan sekurang-kurangnya lapan penduduk Rohingya meninggal dunia manakala 31 bayi dilahirkan dalam keadaan serba daif sejak awal tahun lalu.

Jurucakap MSF berkata, situasi itu memberi kesan besar kepada golongan kanak-kanak kerana mereka kini  terdedah dengan pelbagai penyakit.

Difahamkan menurut Press TV, bantuan kemanusiaan semakin berkurangan di Rakhine selepas kerajaan mengehadkan kemasukan sukarelawan ke negeri itu.

Bulan lalu, ratusan sukarelawan dipindahkan dari Sittwe selepas gudang milik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diserang.

8 maut akibat kekurangan makanan


YANGON 25 April - Sukarelawan agensi perubatan Doctors Without Borders (MSF) mendedahkan, etnik Islam Rohingya yang berada di kem pelarian di negara ini berha­dapan masalah kekurangan makanan dan bantuan perubatan.
Laman web presstv.ir yang memetik seorang sukarelawan melaporkan, sekurang-kurang­nya lapan orang sudah meninggal dunia dan 31 orang bayi dilahirkan dalam persekitaran yang kotor sejak awal tahun ini.
Selain itu, wanita dan kanak-kanak di kem tersebut turut terganggu dari segi mental dan fizikal.
"Kami cuba untuk menghantar seorang wanita yang sarat mengandung ke kampung berdekatan yang mempunyai doktor, namun wanita ber­kenaan telah meninggal dunia," jelas sukarelawan itu, semalam.
Menurut laporan, beratus-ratus ribu penduduk Islam Rohingya di Myanmar kini berhadapan dengan masalah kekurangan makanan dan air, susulan proses penghantaran bantuan kemanusiaan ke Rakhine diperlahankan selepas berlakunya keganasan kaum.
Beratus-ratus pekerja bantuan kemanusiaan antarabangsa terpaksa dipindahkan dari Sittwe, ibu negeri Rakhine, selepas sebuah gudang milik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diserang pada 27 Mac lalu.
PBB sudah meminta bantuan daripada kerajaan Myanmar untuk memberi perlindungan kepada para sukarelawan tersebut, yang berada dalam ketakutan berikutan berlakunya keganasan dan rusuhan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Sementara itu, kerajaan Myan­mar mahu kumpulan bantuan kemanusiaan melaporkan aktiviti mereka bagi membolehkan satu badan khas ditubuhkan bagi melindungi agensi-agensi tersebut.
Sebelum ini, Myanmar sering dikritik oleh badan-badan hak asasi manusia kerana gagal melindungi penduduk Islam Rohingya di Rakhine.
Menurut PBB, etnik Rohingya merupakan komuniti paling teruk ditindas di dunia.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140426/lu_05/8-maut-akibat-kekurangan-makanan#ixzz2zwRhT0CN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Friday 18 April 2014

6 maut pesta air Thingyan

WARTAWAN SINAR HARIAN
6 maut pesta air Thingyan
Kematian ketika pesta air meningkat berbanding tahun lalu.
18 April 2014
 YANGON - MYANMMAR. Sekurang-kurangnya enam maut dan 47 yang lain cedera dalam 20 insiden sepanjang empat hari Pesta Air Thingyan di wilayah tersebut.

Agensi berita Xinhua melaporkan, kebanyakan kemalangan disebabkan penduduk menyimbah air ketika kenderaan dipandu laju hingga menyebabkan kereta terbabas dan berputar.

Laporan polis turut menunjukkan antara kes lain yang berlaku sepanjang perayaan pada 13 hingga 16 April itu termasuk mencuri, meragut dan menyamun.

Sepanjang pesta berlangsung, lebih 5,000 polis dan anggota keselamatan ditugaskan bagi memastikan keselamatan orang awam.

Pada pesta air tahun lalu, sebanyak 46 kemalangan jalan raya dicatatkan di seluruh negara mengakibatkan empat kematian dan 92 kecederaan. - Reuters

Monday 14 April 2014

Britain dikritik biayai bancian di Myanmar

LONDON 13 April - Sebuah pertubuhan hak asasi manusia menggesa agar siasatan dijalankan terhadap tindakan kerajaan Britain membiayai bancian di Myanmar yang mencetuskan kontroversi kerana didakwa melakukan diskriminasi terhadap etnik Islam Rohingya.
Portal berita Karennews melaporkan gesaan itu dibuat oleh kumpul­an Burma Campaign UK yang beribu pejabat di Britain yang bertindak mengupah seorang pegawai penyiasat bagi menyiasat tindakan London menyalurkan bantuan sebanyak AS$16 juta (RM51 juta) bagi membantu kerajaan Myamnar menjalankan bancian tersebut.
Pengarahnya, Mark Farmener turut mempersoalkan tindakan Jabatan Pembangunan Antarabangsa Britain (DFID) membiayai bancian oleh kerajaan Myanmar yang berbaur perkaum­an dan diskriminasi, selain melanggar hak asasi manusia.
“Bancian itu akan menyebabkan kanak-kanak (Rohingya) mati, dan ia disebabkan oleh bantuan antarabangsa termasuk DFID," katanya.
Kerajaan Myanmar berdepan kritikan hebat daripada kumpulan hak asasi manusia antarabangsa kerana mengenepikan hak etnik Rohingya dalam bancian itu dan melabelkan golongan minoriti itu sebagai kaum Benggali.
Sementara itu, pegawai khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang ditugaskan memantau situasi hak asasi manusia di Myanmar, Tomás Ojea Quintana memberi amaran, keadaan meruncing di negeri Ra­khine, tempat etnik Rohingya menetap, boleh meningkatkan kes jenayah kemanusiaan, disebabkan bancian yang berat sebelah tersebut.
Selain di Rakhine, beberapa etnik lain turut membantah isu berhubung kategori etnik yang dimasukkan dalam bancian berkenaan.
“Semasa saya bertemu wakil masyarakat di negeri Kachin, mereka mendakwa wakil kerajaan menjalankan bancian berkenaan tanpa mengambil kisah tentang isu yang dihadapi oleh penduduk setempat," katanya. - Agensi

Sunday 13 April 2014

Etnik Rohingya terdedah kepada bahaya

 SITTWE 12 April - Penggantungan operasi pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri Rakhine selepas pejabat mereka diserang kumpulan pelampau Buddha mengakibatkan nasib kumpulan minoriti khasnya etnik Rohingya lebih banyak terdedah kepada bahaya.
Portal berita Burma Times melaporkan, beberapa minggu selepas operasi NGO itu dihentikan, situasi kemanusiaaan bagi penduduk Myanmar khasnya kepada kumpulan yang lemah seperti Rohingya menjadi semakin teruk.
Menurut portal itu, keadaan tersebut paling banyak memberi kesan kepada etnik Rohingya kerana kebanyakan mereka tinggal di kem-kem pelarian.
Etnik Rohingya sering berhadapan dengan sekatan-sekatan daripada kerajaan dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan kumpulan kumpulan NGO bagi kelangsungan hidup mereka.
Dalam perkembangan berasingan, Penolong Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik Amerika Syarikat (AS), Daniel Russel melahirkan kebimbangannya tentang keadaan di Rakhine semasa mengadakan pertemuan dengan Presiden, Thein Sein dan pegawai tinggi kerajaan Myanmar di Naypidaw, kelmarin.
Dalam pertemuan itu katanya, beliau memberi tumpuan kepada rancangan jangka panjang dan pendek kerajaan terhadap negeri Rakhine dan menzahirkan kebimbangan AS tentang kebebasan media di negara ini.
“Saya melahirkan kebimbangan Washington tentang situasi kemanusiaan serta harapan tinggi dan jangkaan kami bahawa kerajaan akan menyediakan keselamatan dan akses yang diperlukan kepada agensi kemanusiaan antarabangsa dalam memenuhi keperluan masyarakat di negeri Rakhine," katanya.

Saturday 12 April 2014

Akhbar di Myanmar protes wartawan dipenjara

Akhbar di Myanmar protes wartawan dipenjara
Ratusan pengamal media melakukan protes di ibu negara. 
12 April 2014 YANGON - MYANMAR . Beberapa akhbar di Myanmar semalam, terbit dengan muka depan yang dihitamkan selepas seorang wartawan negara itu dihukum penjara setahun kerana cuba menemubual seorang pegawai jabatan pendidikan.

Zaw Pe, wartawan laman web berita Democratic Voice of Burma (DVB), didakwa atas tuduhan menceroboh dan mengganggu kakitangan awam oleh sebuah mahkamah di Magway.

Dia dipenjara bersama Win Myint Hlaing, bapa kepada seorang pelajar, yang bersama-samanya ke jabatan pendidikan itu untuk bertanyakan hal mengenai satu laporan tentang program biasiswa tajaan Jepun.

Hukuman ke atas Zaw Pe ini turut mendapat bantahan aktivis demokrasi di Myanmar dan antarabangsa yang secara umum mempersoalkan proses peralihan demokrasi di negara yang sebelum ini diperintah tentera sejak 1962. - Reuters

Friday 11 April 2014

113 etnik Rohingya ditahan


Oleh Salman Hamat
Kepala Batas: Seramai 113 orang termasuk 38 kanak-kanak etnik Rohingnya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika cuba mendarat di Pantai Robina, Teluk Air Tawar, di sini, jam 8 pagi tadi.

Ketika kejadian 74 berada diatas bot manakala 39 lagi bertindak terjun ke laut bagaimanapun berjaya ditahan semula.




Kesemua mereka dipercayai berlepas dari Myammar menuju ke negara ini sejak 25 Mac lalu.

Warga Rohingnya berkenaan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) untuk proses dokumentasi dan tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/10

Wanita Myanmar belasah kanak-kanak dijel 8 bulan


KUALA LUMPUR 9 April - Perbuatan kejam seorang wanita warga Myanmar memijak muka dan memukul seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang dalam jagaannya terbalas apabila dia dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Me Khaine, 33, pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) dijatuhi hukuman itu setelah mengaku bersalah menggunakan kekerasan jenayah terhadap kanak-kanak tersebut di Pusat Bandar Utara Pasar Borong Baru Selayang di sini antara Oktober 2013 dan 16 Januari lalu.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan perbuatan tersebut dengan cara memijak muka, memukul menggunakan tangan, rotan dan penyangkut baju terhadap mangsa.
Majistret Erry Shahriman Nor Aripin memerintahkan Khaine yang merupakan suri rumah menjalani hukuman berkenaan bermula dari tarikh tangkap pada 17 Januari lalu.
Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Diana Nor Azwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, pengadu yang merupakan ahli jawatankuasa surau berdekatan telah menerima panggilan telefon daripada komuniti Myanmar Pasar Borong Selayang mengenai kekecohan yang berlaku di rumah wanita itu.
Setibanya pengadu di rumah berkenaan mendapati mangsa telah dipukul oleh wanita berkenaan dan mengalami kecederaan di seluruh badan.
Melalui pemeriksaan doktor, mangsa mengalami lebam dan luka di seluruh badan serta terdapat kesan parut lama dan baharu berpunca daripada hentakan objek keras dan sebatan rotan.
Mangsa mengesahkan telah didera selama empat bulan sebelum wanita itu ditahan oleh pihak polis.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140410/ma_05/Wanita-Myanmar-belasah-kanak-kanak-dijel-8-bulan#ixzz2yWGghBYS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis, tentera sengaja ganggu Rohingya


DUA orang penduduk, berdiri di hadapan pintu tempat perlindungan mereka ketika seorang anggota tentera menyaksikan proses bancian dijalankan di sebuah kem pelarian Rohingya di Sittwe, Rakhine pada 1 April lalu. - REUTERS
SITTWE 10 April - Pasukan keselamatan Myanmar didakwa bekerjasama dengan pihak pentadbiran daerah, majlis perbandaran, dan jawatankuasa kampung bagi mengganggu penduduk Rohingya hingga ada di antara wanita etnik itu turut dirogol pihak berkuasa.
Burma Times melaporkan, keadaan itu dilaporkan bermula sejak 1 April lalu dengan pasukan keselamatan akan berkelakuan kurang sopan terhadap wanita apabila ketiadaan lelaki yang bertindak sebagai ketua keluarga di rumah.
Kadang-kala, wanita Rohingya yang cantik sengaja ditahan polis atas tuduhan palsu dan hanya akan dibebaskan selepas dirogol.
Kebanyakan kes penganiayaan itu dilaporkan berlaku di tiga kawasan yang dihuni etnik Rohingya iaitu di Rathedaung, Buthidaung and Maungdaw.
Malah, petugas bancian di kawasan Rohingya dilaporkan akan segera berhenti dan meninggalkan kawasan etnik itu selepas penduduk mahu dikenali sebagai bangsa Rohingya.
"Niat utama untuk mengharamkan Rohingya daripada proses bancian ini adalah untuk menjadikan kami sebagai etnik Benggali," kata warga tua Rohingya, menurut satu tinjauan tentang 'mengapa pihak berkuasa meningkatkan gangguan ke atas Rohingya selepas proses bancian bermula' yang dikendalikan oleh Burma Times di barat Myanmar.
Dalam perkembangan berasingan, Bangladesh dilaporkan meminta bantuan masyarakat antarabangsa bagi pelaksanaan Dasar Kebangsaannya dalam menangani isu warganegara Myanmar yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri di negara itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140411/lu_06/Polis-tentera-sengaja-ganggu-Rohingya#ixzz2yWG8ub3x
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Thursday 10 April 2014

Myanmar akhirnya akui kesilapan


Sebahagian kotak yang berisi bekalan bantuan, bersepah selepas sebuah gudang milik Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) diserang dalam keganasan agama di Sittwe, negeri Rakhine, Myanmar pada 28 Mac lalu. - REUTERS
YANGON 9 April - Myanmar buat pertama kalinya mengakui, lambat memberikan tindak balas terhadap keganasan di Rakhine sehingga memaksa kumpulan-kumpulan bantuan kemanusiaan keluar daripada negeri itu bulan lalu.
Keadaan itu mengakibatkan penduduk terutamanya etnik Rohingya Islam berdepan masalah kekurangan bekalan makanan dan air bersih.
“Kerajaan Myanmar mengakui tidak memberi maklum balas segera dan berkesan untuk melindungi kumpulan-kumpulan bantuan di Sittwe.
“Kami berjanji akan menyediakan kawalan keselamatan berkesan kepada rakyat asing, kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan sukarelawan bantuan antarabangsa," jelas kerajaan Myanmar dalam satu kenyataan.
Kenyataan dikeluarkan menerusi laman web Pejabat Presiden itu merupakan yang pertama seumpamanya, mengambil kira sikap Myanmar yang sering berdolak-dalik berhubung isu membabitkan etnik Rohingya sebelum ini.
Keganasan di Rakhine mengakibatkan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon menghubungi Presiden Myanmar, Thein Sein dan merayu supaya Yangon memberi perlindungan kepada orang awam dan pekerja bantuan antarabangsa di situ.
Selain itu, Amerika Syarikat (AS) turut menyuarakan kebimbangannya terhadap layanan ke atas pekerja bantuan asing manakala Britain kelmarin, memanggil duta Myanmar bagi menzahirkan 'kebimbangan mendalam mereka' tentang perkara tersebut.
Lebih 170 pekerja bantuan asing meninggalkan Rakhine selepas serangan keganasan tercetus akibat tindakan seorang kakitangan kumpulan bantuan perubatan Jerman, Malteser International menurunkan bendera Buddha di hadapan rumah sewanya.
Kumpulan bantuan antarabangsa mendapat tekanan hebat daripada penduduk Buddha di Rakhine yang menuduh mereka berat sebelah dan memihak kepada penduduk Rohingya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140410/lu_02/Myanmar-akhirnya-akui-kesilapan#ixzz2yS9jhdCh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday 9 April 2014

Henti bunuh umat Islam Rohingya!

WARTAWAN SINAR HARIAN
Henti bunuh umat Islam Rohingya!
Mohammad Sadek (tiga, kiri) menyerahkan memorandum kepada wakil Kesatuan Eropah di Menara Tan & Tan, semalam. 
9 April 2014 
KUALA LUMPUR - Satu memorandum dihantar kepada wakil Kesatuan Eropah berhubung konflik pembunuhan kejam masyarakat Islam Rohingya di Myanmar di Menara Tan & Tan, dekat Jalan Tun Razak,  semalam.
Pengerusi Kumpulan Pelarian Rohingya Dari Arakian di Malaysia, Mohammad Sadek berkata, memorandum ini bertujuan menyelesaikan krisis tindakan kejam dan menjaga hak asasi keselamatan terhadap etnik Rohingya.

Menurutnya, ini untuk mendesak Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengatur sesi kecemasan untuk menghantar segera misi pengaman ke negeri Arakan.

“Malah, bangsa kami dibunuh kejam sekali sehinggakan ada yang dibakar dan dirogol. Sekarang orang Buddha dari negara luar iaitu China, India dan Bangladesh pun turut memohon kerakyatan negara kami.

“Bukan itu sahaja, difahamkan sebenarnya motif utama mereka adalah untuk membunuh masyarakat Rohingya,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan memorandum, semalam.

Dakwanya lagi, sebelum ini kerajaan Myanmar tidak menerima bangsa Rohingya dan memaksa mereka mengaku sebagai kaum Bengali pada bancian awal tahun ini.

“Harapan saya, semoga dengan penyerahan memorandum ini, tindakan sewajarnya boleh diambil bagi membolehkan mereka hidup aman, " katanya.

Myanmar paling ramai pelarian


KUALA LUMPUR 8 April - Warga Myanmar mencatatkan jumlah pelarian dan pemohon suaka tertinggi di negara ini dengan seramai 132,187 orang termasuk 27,289 orang daripada etnik Rohingya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, secara keseluruhannya, jumlah pelarian dan pemohon suaka di Malaysia adalah seramai 142,160 orang dari pelbagai negara termasuk Myanmar, Afghanistan, Iraq, Somalia dan Sri Lanka.
Jelas beliau, Malaysia tidak mengiktiraf pelarian kerana negara ini tidak menandatangani perjanjian Konvensyen Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1951.
"Maka kita anggap mereka (pelarian) ini sebagai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) tetapi pelarian yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) adalah dibenarkan tinggal sementara di negara ini.
"Golongan itu juga dikecualikan daripada tindakan penguatkuasaan mengikut Akta Imigresen 1959," katanya menjawab soalan Datuk Mohd. Johari Baharom (BN-Kubang Pasu) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Mohd. Johari bertanyakan jumlah pelarian di negara ini khususnya etnik Rohingya dan usaha kerajaan bagi mengawal kehadiran golongan itu.
Menurut Shahidan, pelarian yang memegang kad UNHCR mempunyai beberapa keistimewaan termasuk kemudahan rawatan kesihatan di hospital kerajaan dan peluang melanjutkan pelajaran di sektor pendidikan swasta.
Jelasnya, walaupun pelarian terbabit bebas untuk bergerak tanpa ditahan tetapi mereka masih tetap terikat dengan undang-undang di negara ini.
Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Nasrudin Hassan (Pas-Temerloh), Shahidan ber­kata, pelarian etnik Rohingya tidak akan dihantar pulang ke negara asal secara paksaan sebaliknya bergantung kepada kerelaan pelarian itu.
"Sekiranya dia (pelarian) secara sukarela balik ke negara asal mereka, kita benarkan tetapi sekiranya mereka balik tetapi ada masalah (penindasan dan kezaliman) kita tidak akan berbuat demikian (hantar pulang)," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20140409/pa_05/Myanmar-paling-ramai-pelarian#ixzz2yZI5SjBM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kumpulan bantuan terpaksa keluar dari Rakhine


YANGON 8 April - Masyarakat Rohingya berdepan masalah kekurangan bekalan air dan perubatan yang kritikal di barat Myanmar ekoran beberapa serangan ke atas sukarelawan bantuan kemanusiaan yang memaksa kumpulan-kumpulan itu berundur.
Wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi hak asasi ke Myanmar, Tomas Ojea Quintana berkata, keadaan itu akan meningkatkan lagi jumlah jenayah perang ke atas etnik minoriti tersebut.
Quintana berkata, siri gelombang serangan terhadap organisasi bantuan kemanusiaan telah menyekat bekalan perubatan, air dan makanan sekali gus menyukarkan lagi kehidupan masyarakat Rohingya.
"Perkembangan di negeri Rakhine itu merupakan yang terbaharu sepanjang sejarah diskriminasi dan penindasan terhadap komuniti Rohingya yang boleh dianggap sebagai jenayah terhadap kemanusiaan," katanya dalam satu kenyataan.
Kira-kira 170 pekerja bantuan kemanusiaan terpaksa keluar dari Rakhine ekoran beberapa serangan pada akhir bulan lalu, jumlah paling besar sejak krisis tersebut berlaku.
Pemindahan beramai-ramai pasukan kemanusiaan itu meruncingkan lagi keadaan kesihatan beratus ribu mangsa yang bergantung kepada bantuan perubatan antarabangsa di 140,000 khemah selain lebih 700,000 orang lain di kampung-kampung terpencil terjejas teruk.
Quintana berkata, bekalan air juga akan mencapai paras yang kritikal dalam masa seminggu di sebahagian kem yang menempatkan pelarian yang majoritinya orang Islam.
Beliau turut mendesak pihak berkuasa melakukan tindakan sewajarnya untuk memastikan keselamatan anggota sukarelawan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140409/lu_05/Kumpulan-bantuan-terpaksa-keluar-dari-Rakhine#ixzz2yKtzr83m
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tuesday 8 April 2014

Pasukan keselamatan Myanmar tindas Rohingya


para pegawai bancian Myanmar membuat bancian di kem pelarian di Da Paing yang menempatkan pelarian Islam Rohingya di utara Sittwe negeri Rakhine pada 2 April lalu. - AGENSI
YANGON 7 April - Pasukan keselamatan dan kumpulan pelampau di Rakhine didakwa bekerjasama menindas penduduk Islam Rohingya di kawasan pedalaman.
Burma Times melaporkan, pasukan keselamatan yang tiba di perkampungan Htalia, Maung Daw membuat tinjauan di sana dan pada masa sama menindas etnik Rohingya.
Pasukan keselamatan dilaporkan menahan tiga lelaki Rohingya dengan mengemukakan dakwaan palsu iaitu melakukan penyeludupan.
Isteri seorang mangsa berkata, suaminya, Arafat ditangkap oleh pasukan keselamatan Myanmar, hari ini dan kemudian dihina dan dipukul.
"Mereka meminta saya membayar sejumlah wang untuk membebaskan suami saya, namun saya tidak mampu berbuat demikian," kata wanita itu.
Pasukan keselamatan dan kumpulan pelampau dikatakan berbuat demikian ekoran keengganan Rohingya menggunakan terma Benggali dalam bancian yang kini dijalankan di seluruh negara ini.
Pemimpin Rohingya memohon Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) membantu menyelesaikan isu tersebut dan menggesa Myanmar menerima etnik itu sebagai rakyat negara ini dengan menyertakan mereka dalam senarai bancian tersebut dengan menyenaraikan mereka sebagai etnik Rohingya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140408/lu_04/Pasukan-keselamatan-Myanmar-tindas-Rohingya#ixzz2yF105ajH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Monday 7 April 2014

Etnik Rohingya diserang lagi


Penduduk memeriksa kawasan seitar kediaman mereka selepas pelampau Buddha menyerang kawasan dihuni etnik Rohingya di bandar Hlegu, pinggir Yangon pada 4 April lalu. - AGENSI
YANGON 6 April - Penduduk Islam Rohingya terus menjadi mangsa keganasan di Myanmar, selepas etnik minoriti itu dilaporkan diserang sekumpulan pelampau Buddha dalam satu keganasan agama terbaharu di bandar Hlegu, pinggir ibu negara ini, kelmarin.
Burma Times melaporkan, kira-kira 100 orang pelampau Buddha melontar batu dan kayu ke arah etnik Rohingya di bandar itu dan mereka turut cuba merosakkan sebuah bangunan serta memusnahkan rumah-rumah dan kedai-kedai milik penduduk Rohingya.
Ekoran serangan itu, tercetus pertempuran antara kedua-dua belah pihak mengakibatkan beberapa orang cedera termasuk anggota polis yang cuba meleraikan keganasan tersebut.
Keganasan yang dicetuskan penduduk Buddha itu merupakan insiden terbaharu selepas beratus-ratus penduduk Buddha menyerang pejabat kumpulan bantuan perubatan Malteser International dalam satu kejadian di negeri Rakhine, baru-baru ini.
Dalam perkembangan berasingan di bandar Maungdaw di Rakhine, dua buah kapal sarat membawa tentera Myanmar dilaporkan tiba di Kampung Kyein Chaung dan Bolibazar melalui sungai Pyuma Chaung, lapor Burma Times.
Menurut penduduk, kehadiran tentera di kedua-dua kampung itu adalah di luar jangkaan penduduk dan mereka sama sekali tidak mengetahui tujuan kehadiran tentera di situ.
Penduduk Rohingya kini dalam keadaan dilema dengan kehadiran pasukan keselamatan dan pekerja banci secara serentak memaksa etnik itu mengenalkan diri mereka sebagai Benggali.
Pengerusi Bancian Myanmar, Dr. Kyaw Maung Maung Thein dan Dr. U Ko Ning dilaporkan telah pergi ke perkampungan-perkampungan Rohingya dan mengadakan rundingan dengan guru sekolah supaya menulis terma Benggali pada proses bancian yang akan dijalankan, namun diabaikan guru di situ,
Bukan sahaja guru, pemimpin etnik Rohingya serta doktor dan ahli Parlimen turut menolak proses rundingan yang mencadangkan penduduk menulis keturunan mereka sebagai Benggali, sekali gus memaksa pihak berkuasa memanggil pemimpin Rohingya supaya hadir ke Naypyidaw bagi membincangkan episod Rohingya seterusnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140407/lu_01/Etnik-Rohingya-diserang-lagi#ixzz2yCPDSBIR
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday 2 April 2014

Rohingya hampir kehabisan makanan, air


Kanak-kanak pelarian Rohingya berehat di dalam khemah ketika satu proses bancian di sebuah kem pelarian pedalaman (IDPS) di kampung Theechaung di pinggir pinggir Sittwe, negeri Rakhine, barat Myanmar, semalam. - AFP
SITTWE 1 April - Ribuan penduduk termasuk etnik Rohingya di Rakhine, barat Myanmar dilaporkan hampir kehabisan bekalan makanan dan air bersih, lapor agensi Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) yang terpaksa meninggalkan wilayah itu selepas beberapa siri gelombang keganasan.
Kebanyakan pelarian Rohingya yang tinggal di kem-kem di Rakhine bergantung sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan yang kini dihentikan ekoran serangan penduduk Buddha ke atas pertubuhan bantuan itu, baru-baru ini.
"Kami amat bimbang dengan keganasan yang boleh menjejaskan operasi kemanusiaan," kata jurucakap OCHA, Pierre Peron.
Katanya, simpanan air bagi kira-kira 18,000 penduduk di dua khemah berasingan di Pauktaw amat kritikal.
Perkhidmatan kesihatan terutamanya rawatan kecemasan terjejas akibat keganasan baharu di Rakhine yang berpunca daripada proses bancian pertama selepas tiga dekad.
Agensi perubatan Doctors Without Borders (MSF) diusir keluar dari Rakhine bulan lalu, memberi kesan kepada kira-kira 800,000 etnik Rohingya yang berdepan dengan layanan buruk kerajaan yang dianggap sebagai pendatang asing.
Petugas agensi bantuan bimbang mereka akan dihalang daripada menawarkan bekalan asas dan penjagaan kesihatan kepada 170,000 pelarian di khemah-khemah dan perkampungan terpencil sekitar Rakhine. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140402/lu_04/Rohingya-hampir-kehabisan-makanan-air#ixzz2xgAL3iQt
© Utusan Melayu (M) Bhd