Friday 20 June 2014

Syed Hamid bentang rancangan bantu Rohingya


Gambar bertarikh 24 April lalu, menunjukkan wanita Rohingya bernama Norbagoun, sedih dengan keadaan bayi kembarnya berusia 25 hari yang kekurangan zat makanan di kem Dar Paing, di Sittwe, Rakhine, Myanmar. - REUTERS
JEDDAH 19 Jun - Sebulan selepas dilantik sebagai Duta Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengenai etnik Islam Rohingya di Myanmar, Tan Sri Syed Hamid Albar membentangkan pelan tindakan beliau dalam satu mesyuarat khas di sini.
Setiausaha Agung OIC, Iyad Ameen Madani mempengerusikan mesyuarat kumpulan hubungan OIC mengenai etnik Islam Rohingya di Myanmar untuk membincangkan perkembangan terkini berhubung isu dan cabaran yang dihadapi kaum berkenaan.
Pertemuan itu diadakan di luar sesi ke-41 majlis menteri-menteri luar yang berakhir hari ini.
"Iyad mengalu-alukan kehadiran anggota kumpulan hubungan ke mesyuarat khas ini dan mengucapkan terima kasih kepada Syed Hamid yang dijemput untuk memberi taklimat kepada anggota kumpulan itu tentang perancangan terkini beliau," menurut Sekretariat OIC yang berpusat di Jeddah, menerusi satu kenyataan.
Dilantik oleh Iyad bulan lepas, peranan Syed Hamid sebagai duta khas adalah untuk memperkukuhkan usaha-usaha diplomatik antara OIC dan pihak berkuasa serta negara-negara serantau dan antarabangsa yang lain.
Ini penting dalam menggalakkan keamanan dan mengembalikan keharmonian kaum, khasnya antara penduduk bukan Islam dan Islam, di Myanmar melalui proses dialog komprehensif.
Ketua Pengarah Kesatuan Arakan Rohingya Dr. Wakar Uddin membentangkan taklimat berkaitan perkembangan terkini isu etnik Islam Rohingya dan menggesa negara anggota OIC agar menyalur lebih banyak bantuan.
Kumpulan hubungan OIC turut dianggotai Mesir, Arab Saudi, Senegal, Indonesia, Malaysia, Brunei Darussalam, Bangladesh, Djibouti, Turki, Afghanistan dan Emiriyah Arab Bersatu. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140620/lu_05/Syed-Hamid-bentang-rancangan-bantu-Rohingya#ixzz357z55IwG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment