Thursday 19 June 2014

Penduduk Rohingya hidup menderita


WASHINGTON 18 Jun - Kira-kira 140,000 orang entik Islam Rohingya yang tinggal di dalam kem pelarian di Rakhine, kini hidup dalam keadaan daif dan sangat memerlukan pembelaan.
Timbalan Koordinator Bantuan Kecemasan, Kang Kyung-wha yang mengadakan lawatan ke Myanmar pada minggu lepas, menyaksikan sendiri bagaimana penduduk di Rakhine dan utara Kachin meneruskan hidup mereka tanpa tempat tinggal, sejak berlakunya keganasan etnik pada Jun 2011.
"Di Rakhine, saya menyaksikan sendiri bagaimana penduduk Rohingya hidup menderita di kem pelarian (IDP). Saya tidak pernah melihat perkara seteruk ini di mana-mana tempat. Kaum lelaki, wanita dan kanak-kanak berada dalam keadaan yang sangat teruk dan tidak bebas untuk bergerak.
"Kebanyakan mereka tidak mendapat bantuan yang sewajarnya terutama perkhidmatan kesihatan, pelajaran, kemudahan air dan kebersihan," jelas Kyung-wha.
Tambah Kyung-wha, tahap keselamatan kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pekerja bantuan lain juga berada dalam risiko, sehinggalah pihak berkuasa Myanmar memastikan kumpulan yang menyerang pegawai PBB dan NGO pada Mac lalu dibawa ke muka pengadilan.
"Pekerja kemanusiaan di Rakhine bertugas dalam keadaan yang sangat sukar dan saya amat menghormati komitmen mereka untuk terus berada di sana bagi meneruskan perkhidmatan," ujarnya.
Februari lalu, kerajaan Myanmar bertindak mengusir kumpulan bantuan perubatan Doctor Without Borders dari Rakhine, sebelum berlakunya serangan pada bulan Mac lalu yang mengakibatkan banyak kumpulan bantuan keluar dari negeri berkenaan.
Kata Kyung-wha, beliau hanya berkesempatan melawat sebuah kem yang terletak di kawasan kawalan kerajaan di Kachin dan turut berbual dengan beberapa orang pekerja bantuan.
Sebelum ini, PBB pernah mengeluarkan amaran kekejaman yang berlaku di Rakhine bakal memberi kesan kepada Myanmar yang kini sedang mengalami perubahan dramatik daripada segi ekonomi dan politik selepas berjaya keluar daripada pemerintahan tentera. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140619/lu_05/Penduduk-Rohingya-hidup-menderita#ixzz3527ATC2y
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment