Saturday 21 June 2014

Cerita negeri paranoid


Kyaukpyu, Myanmar: Kempen mengasingkan Muslim di bawah sistem seperti aparteid semakin mendapat sambutan di barat Myanmar.

Digerakkan aktivis Buddha di negara diperintah kerajaan separa junta tentera itu, kempen keganasan ke atas orang Islam setakat ini menyebabkan lebih 140,000 orang menjadi pelarian di negeri Rakhine.

Walaupun masih hidup, situasi mereka kadang-kadang tidak lebih baik daripada banduan kerana terperangkap dalam kem pelarian atau petempatan khas dibina kerajaan.

Tidak diiktiraf sebagai warga negara, penduduk Rohingya itu dikenakan sekatan perjalanan, malah di sesetengah tempat, jumlah anak yang boleh dilahirkan pun dikawal.

Keganasan agama sejak 2012 menyebabkan ratusan nyawa masyarakat Rohingya terbunuh.

Beberapa bulan lalu, aktivis Buddha di Rakhine bergabung dengan ahli politik meningkatkan kempen mengehadkan kemudahan kesihatan serta bantuan lain yang sepatutnya diberikan kepada penduduk dizalimi itu.

Sukarelawan berkata, ada kira-kira sejuta etnik Rohingya di Myanmar dengan majoriti mereka berada dalam keadaan daif.



Mengepalai kempen penuh keji itu ialah Rangkaian Sosial Rakhine (RSN) - sebuah pertubuhan menaungi pelbagai pertubuhan - serta kumpulan baru dibentuk, Parti Kebangsaan Arakan (ANP).

Pengerusi Rangkaian Wanita Rakhine, Nyo Aye berkata, mereka berasa bimbang Myanmar tidak lagi menjadi negara Buddha pada masa depan.

Foto
KANAK-KANAK perempuan Rohingya berehat di kem pelarian di luar Sittwe.

Foto
ETNIK Rohingya hidup dalam kemiskinan dan terus ditindas kerana tidak diiktiraf sebagai warga Myanmar.
Foto
DI sebalik reputasinya sebagai pejuang keamanan, Suu Kyi tidak banyak bertindak mempertahankan masyarakat Muslim Myanmar.
“Kami etnik Rakhine mengawal seketat-ketatnya bahagian barat Myanmar bagi mengelakkan imigran Muslim dari Bangladesh masuk secara tidak sah,” katanya.


Kezaliman itu sebenarnya tidak berlaku secara spontan.

Pemimpin Rakhine menggunakan kesempatan semasa kesan daripada kempen reformasi Myanmar menjadi lebih demokratik.

Dalam keadaan begitu, mereka cuba mendapatkan kuasa autonomi lebih besar daripada kerajaan serta peruntukan besar bagi pembangunan infrastruktur di negeri Rakhine.

Myanmar menutup pintunya kepada perkembangan dunia luar sejak hampir 50 tahun lalu dan mengamalkan pemerintahan tentera.

Bulan lalu Presiden AS, Barack Obama menjadikan penindasan ke atas Rohingya sebagai antara alasan Washington melanjutkan sesetengah sekatan ekonomi ke atas Myanmar.

Pengarah Eksekutif Fortify Rights - sebuah pertubuhan pemantau hak asasi manusia di Rakhine, Matthew Smith berkata, kempen menindas etnik Rohingya berlaku dengan aktif di negeri itu.

“Aktivis beroperasi secara sistematik untuk menghalau etnik Rohingya meninggalkan Rakhine,” katanya.

Keadaan itu, kata Smith, turut diakui sesetengah pemimpin sederhana Rakhine.

Data PBB pula menunjukkan lebih 80,000 etnik Rohingya meninggalkan Myanmar menaiki bot sejak 2012 untuk mengelak daripada menjadi mangsa penindasan aktivis Buddha.

Bagaimanapun jurucakap kerajaan Rakhine - seperti dijangka - menafikan berlaku krisis kemanusiaan di situ.

Katanya, kebanyakan pelarian Rohingya hidup lebih selesa di kem yang disediakan berbanding rumah asal mereka.

Pemimpin ANP, Aye Thar Aung berkata, penduduk Rakhine dianggarkan berjumlah tiga juta orang dan sejuta daripadanya adalah masyarakat “Benggali” - istilah digunakan mereka untuk merujuk kepada etnik Rohingya.

Sama seperti dasar kerajaan, mereka juga enggan mengiktiraf kewujudan etnik Rohingya itu dalam Myanmar.

“Bagaimana kami boleh membenarkan kumpulan yang tidak diketahui kewarganegaraan masing-masing mengundi dalam pilihan raya Myanmar? “Memang jelas ketika ini sempadan kami, negeri kami diancam penjajahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebenarnya bukan etnik Rohingya saja menjadi sasaran aktivis Buddha Rakhine.

Mana-mana pihak yang dilihat cuba membantu atau bersimpati dengan Muslim turut disasarkan.

Pada 26 Mac beberapa kumpulan bantuan asing diserang hanya kerana khabar angin mendakwa sukarelawan Malteser International menghina bendera Buddha.

Samseng menceroboh gudang agensi bantuan PBB di Sittwe sehingga memaksa sukarelawan diundurkan dari ibu negeri Rakhine itu.

Seperti biasa pemimpin Rakhine menafikan terbabit dalam keganasan berkenaan.

Untuk makluman, tokoh demokrasi yang kononnya berjuang untuk keadilan dan pernah menerima Anugerah Keamanan Nobel, Aung San Suu Kyi sama sekali tidak mempedulikan nasib Rohingya itu.- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/21

No comments:

Post a Comment