Friday 18 October 2013

Letupan bom gegar timur Myanmar


2013/10/18
 
Yangon: Tiga bom meletup di timur Myanmar menyebabkan seorang maut, kata polis semalam, dalam siri letupan yang dilabelkan Amerika Syarikat sebagai tindakan pengganas.

“Berlaku tiga letupan bom. Kami masih menyiasat,” kata pegawai polis kepada AFP, sambil menambah mangsa adalah pekerja perbandaran di Namkhan di negeri Shan di selatan berhampiran sempadan China.
Wilayah berkenaan digegarkan dengan pertempuran antara tentera dan pemberontak etnik minoriti.

Amaran kepada pelancong

Kerajaan Barat memberi amaran kepada pelancong supaya sentiasa berwaspada di Myanmar selepas siri letupan bom, termasuk di Hotel Traders di Yangon yang mencederakan seorang wanita Amerika.

Amerika Syarikat mengutuk serangan itu, menggesa pihak berkuasa meneruskan proses menurut undang-undang.

“Tindakan ganas seperti ini dan cubaan sejak minggu lalu tiada tempat dalam masyarakat bertamadun dan kami yakin rakyat negara ini menentang tindakan ganas ini dengan kekuatan, keazaman dan terus komitmen kepada keamanan, pembangunan dan perpaduan negara,” kata kedutaan Amerika di Yangon dalam satu kenyataan. Pegawai berkata mereka menahan suspek berusia 27 tahun awal Selasa lalu di negeri Mon. Beliau sebelum ini tinggal di Hotel Traders.

Polis berkata beberapa orang disoal siasat berhubung siri letupan di Yangon dan bandar raya lain.

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab di atas siri serangan itu. - AFP

Tuesday 8 October 2013

Myanmar bebaskan 56 aktivis

YANGON 8 Okt. - Myanmar hari ini mula membebaskan baki kira-kira 56 aktivis yang ditahan negara ini selepas berjanji untuk membebaskan kesemua tahanan politik menjelang penghujung tahun ini.
"Kerajaan kami akan membebaskan 56 tahanan politik,'' kata Hla Maung Shwe kepada AFP, dalam kenyataan yang disahkan oleh pegawai jabatan penjara.
Ratusan tahanan politik Myanmar telah dibebaskan sejak Presiden Thein Sein mengambil tampuk pemerintahan pada Mac 2011.
Bagaimanapun, aktivis-aktivis mendakwa, pihak berkuasa berterusan membicarakan tahanan politik dan masih terdapat lagi tahanan yang dipenjarakan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131009/lu_08/Myanmar-bebaskan-56-aktivis#ixzz2hBiPqn1a
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Monday 7 October 2013

Polis biar Muslim diserang

Polis biar Muslim diserangThandwe: Perusuh Buddha tidak mempedulikan gesaan Presiden Thein Sein, supaya menghentikan keganasan terhadap penduduk minoriti Islam, ketika beliau melawat barat Myanmar minggu lalu.

Malah, anggota keselamatan tidak menghalang mereka membakar rumah penduduk Islam atau mencencang mereka hingga mati dan ada ketikanya, anggota keselamatan termasuk polis memberi galakan.
Tingkat keraguan


Keadaan itu meningkatkan keraguan terhadap keupayaan kerajaan menghapuskan kebencian penduduk Buddha yang dipersalahkan atas kematian 240 penduduk Islam sejak 18 bulan lalu.

Selasa lalu, lima penduduk Islam dibunuh dalam serangan di bandar ini, hanya beberapa jam sebelum Thein Sein mendarat untuk satu kunjungan.

Beliau berjanji siasatan segera akan dilakukan dan media kerajaan kelmarin melaporkan, 44 suspek ditahan tetapi tidak mendedahkan butiran lanjut.

Penduduk Islam ketakutan
Namun, ketika askar meronda di perkampungan terjejas teruk di Thabyuchaing, sambil membawa senjata semi-automatik, penduduk Islam masih ketakutan.

Mereka berkata, pihak berkuasa ada banyak peluang menghalang serangan Selasa lalu, setiap satu lebih kejam dan ganas berbanding sebelumnya, namun tidak melakukan apa-apa.

Lebih 110 rumah dibakar dan 500 penduduk hilang tempat tinggal di negara 60 juta penduduk itu.

Pada mulanya, 150 samseng Buddha masuk ke perkampungan itu pada awal pagi dan membakar sebuah rumah sebelum dihalang, kata Myint Aung, 52, berdiri di depan sebuah masjid.

Polis menahan tiga suspek sejurus selepas itu, namun membebaskan mereka serta merta selepas diugut lebih banyak keganasan akan meletus.

Walaupun polis menjanjikan perlindungan di perkampungan Islam, merampas senjata dan mengarahkan mereka pulang ke rumah, lebih ramai samseng menyerang pada jam 9.30 pagi dan kemudian 2.30 petang.

Antara yang maut adalah wanita berusia 94 tahun dan lelaki berusia 89 tahun, kedua-duanya terlalu uzur untuk lari dan mati kerana ditikam.
AP

44 suspek perusuh di Thandwe, Myanmar ditahan



BEBERAPA penganut Islam berkumpul dekat sebuah masjid yang musnah terbakar dalam satu serangan oleh penganut Buddha di kampung Thabyuchaing, Thandwe.


YANGON - Pihak berkuasa Myanmar menahan 44 suspek kerana didakwa terlibat dalam keganasan agama yang memusnahkan sebuah pekan tepi pantai di barat negara ini pada minggu lalu, lapor media tempatan.
Lima penganut Islam terbunuh dan puluhan rumah dibakar apabila kumpulan samseng penganut Buddha mengamuk di pekan Thandwe, negeri Rakhine.
Keganasan itu tercetus hanya seminggu selepas lawatan pertama Presiden Myanmar, Thein Sein ke rantau itu sejak pertumpa- han darah berlaku di Rakhine pada Jun 2012.
Peristiwa tahun lalu meragut beratus-ratus nyawa dan memaksa lebih 140,000 orang melarikan diri, majoritinya merupakan penganut Islam.
Dalam perkembangan berkaitan, televisyen Myanmar kelmarin melaporkan tangkapan dibuat terhadap kedua-dua anggota komuniti di kawasan terjejas.
Minggu lalu, para pegawai di Rakhine menyatakan bahawa pengerusi sebuah parti politik di negeri berkenaan dan sejumlah anggotanya antara yang ditangkap.
Akhbar Myanma Ahlin semalam melaporkan, sebanyak 114 rumah dibakar di Thandwe pada minggu lepas.
Menurut laporan itu, tiga rumah ibadat musnah dan 482 orang hilang tempat tinggal. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1007&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2gzpDc68Q 
Hakcipta terpelihara 

Thursday 3 October 2013

Mangsa konflik Myanmar lari ke hutan

Mangsa konflik Myanmar  lari ke hutanSeorang lelaki mencari sisa barangan dari sebuah kawasan masjid yang dibakar berikutan pertempuran di perkampungan Thabyu Chi dekat Thandwe di negeri Rakhine, barat Myanmar semalam. Gambar kecil asap berkepul dari sebuah rumah yang dibakar di Thandwe. - Foto AP/AF Kejadian selepas kumpulan samseng bunuh wanita Islam, bakar 70 rumah

Yangon: Ratusan penduduk di barat Myanmar, melarikan diri ke dalam hutan sehari selepas sekumpulan samseng membunuh seorang wanita Islam berusia 94 tahun dan membakar lebih 70 buah rumah.
Keganasan yang berlaku di bandar Thandwe, menjelang lawatan Presiden Thein Sein, menimbulkan persoalan mengenai keupayaan kerajaan membendung serangan anti-Islam termasuk melindungi masyarakat minoriti Islam di negara bergolak itu.


Jurucakap polis, Kyaw Naing berkata, di Thabyuchaing, kira-kira 20 kilometer di utara Thandwe, lebih 700 perusuh berada di jalanan sambil membawa pedang dan senjata mengawal lalu lintas malah turut membakar rumah dan menyebabkan kematian warga tua.

Seorang penduduk Islam Thandwe, Myo Min, berkata sebuah masjid kecil di Kyikanyet, kira-kira 27 kilometer dari Thandwe, dibakar penyerang malam kelmarin, bagaimanapun pihak polis belum mengesahkan laporan terbabit.

Bimbang keselamatan

Myo Min berkata, beliau bimbang keselamatan keluarga yang melarikan diri dari keganasan dengan bersembunyi di hutan selepas kampung mereka diserang pengganas.
“Walaupun makanan dan air tidak mencukupi, ramai lagi sedang bersembunyi dan tidak berani keluar manakala warga tua Islam masih berbincang dengan pihak berkuasa untuk memindahkan mereka termasuk menghantar makanan,” katanya.

Pergolakan juga berlaku di beberapa kampung di luar bandar Thandwe tetapi masih berada dalam keadaan tenang dan dikawal rapi anggota keselamatan sepanjang lawatan rasmi Thein Sein tetapi kembali semula bergolak sebaik saja lawatan damai itu selesai.

Pertempuran dua puak

Selasa lalu, Thein Seon tiba di Sittwe kemudian meneruskan siri lawatan ke Mrayk-U sebelum menjengah etnik Buddha Rakhine dan melawat arakat Islam dan Buddha di luar Sittwe.

Pertempuran dua puak bermula sejak Jun 2012 selepas kempen anti-Islam merebak ke bandar dan kampung di sekitar Myanmar sehingga menyebabkan beratus orang terbunuh dan lebih 140,000 lari meninggalkan kediaman masing-masing.

Kumpulan hak asasi manusia menyifatkan Thein Sein gagal mencari jalan untuk menangani masalah ketiadaan toleransi agama dan kegagalannya menangani jurang antara etnik, menyebabkan ribuan penganut Islam tersingkir dan terpaksa hidup di khemah pelarian. - AP

Lagi keganasan etnik di Myanmar

Lagi keganasan etnik di MyanmarPelampau Buddha bertindak kejam membakar rumah penduduk Islam di barat Myanmar.

YANGON - MYANMAR. Keganasan etnik sekali lagi tercetus di barat Myanmar selepas ratusan pelampau Buddha bertindak menyerang dan membakar lebih 70 rumah di kampung Thabyachaing, 20 kilometer di utara bandar Thandwe, menurut pihak berkuasa, semalam.

Pegawai polis, Kyaw Naing berkata, seorang warga emas berumur 94 tahun dilaporkan maut akibat ditikam ketika serangan tersebut.

Ahad lalu, sekumpulan pelampau Buddha didakwa membakar rumah penduduk dan mengepung masjid di bandar Thandwe hingga menyebabkan pihak berkuasa terpaksa mengambil tindakan tegas untuk menyuraikan mereka.

Susulan daripada keganasan yang semakin meningkat di negara itu, kerajaan Myanmar dijangka menandatangani perjanjian gencatan senjata bersama kumpulan etnik bersenjata dalam masa terdekat.

Menteri Luar Myanmar Wunna Maung Lwin menyifatkan langkah tersebut sebagai satu permulaan baru yang lebih komprehensif melibatkan usaha kerajaan untuk mengadakan dialog politik dengan puak pemisah.

"Kami tidak akan lagi menoleh ke belakang selepas negara ini sudah berada di landasan yang betul menuju demokrasi," jelas beliau.    

Selain itu, menurut laporan dipetik dari AP, beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan membiarkan keganasan etnik berlarutan di negara terbabit selepas insiden itu meragut 237 nyawa manakala lebih 150,000 kehilangan tempat tinggal sejak Jun tahun lalu.

Penduduk Islam sembunyi di hutan kerana ketakutan


Sebuah rumah penduduk Islam, musnah teruk akibat kebakaran dilakukan beratus-ratus perusuh Buddha di Thandwe, Rakhine, barat Myanmar, semalam. - AGENSI
THANDWE 2 Okt. - Penduduk Islam yang ketakutan bertindak bersembunyi di hutan di barat Myanmar hari ini, sehari selepas kira-kira 800 perusuh Buddha membunuh empat orang dan membakar berpuluh-puluh kediaman komuniti tersebut.
Keganasan berhampiran Thandwe itu berlaku ketika Presiden Thein Sein dijadual melawat bandar ini lewat hari ini, untuk hari kedua lawatan pertamanya ke negeri bergolak Rakhine sejak ketegangan etnik tercetus tahun lalu.
Insiden terbaharu di Thabyuchaing, kira-kira 20 kilometer ke utara Thandwe itu turut meningkatkan persoalan tentang kegagalan kerajaan membendung serangan anti-Islam dan melindungi komuniti minoriti itu.
Menurut saksi, kehadiran tentera yang ramai menjelang lawatan Thein Sein di bandar itu gagal menghalang rusuhan tersebut kerana tentera dan polis didakwa tidak melakukan apa-apa.
Seorang pegawai polis tempatan, Kyaw Naing berkata, kira-kira 800 perusuh Buddha dengan sesetengah daripadanya membawa pedang, merusuh di jalan-jalan raya di sekitar bandar itu semalam.
Katanya, empat lelaki dan seorang wanita warga emas maut dalam insiden itu, manakala kira-kira 70 hingga 80 kediaman lagi dibakar.
Seorang penduduk Islam, Myo Min berkata, dia kini bimbang tentang keselamatan penduduk yang lari ke hutan akibat rusuhan tersebut.
"Ramai daripada mereka adalah wanita dan kanak-kanak, dan mereka kini masih bersembunyi, selain terkepung dan tidak dapat keluar.
"Mereka sangat perlukan air bersih serta makanan dan kami sedang berbincang dengan pihak berkuasa untuk memindahkan atau menghantar makanan kepada mereka," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131003/lu_05/Penduduk-Islam-sembunyi-di-hutan-kerana-ketakutan#ixzz2gbliEl2k
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tuesday 1 October 2013

Lagi rusuhan tercetus di Myanmar


Dua lelaki memerhatikan api besar yang memusnahkan kediaman-kediaman dalam satu daripada siri rusuhan agama di Myanmar. - AGENSI
YANGON 30 Sept. - Penduduk Islam Myanmar yang ketakutan terpaksa bersembunyi di rumah masing-masing hari ini selepas polis menyuraikan kumpulan perusuh Buddha yang membakar kediaman serta mengepung masjid di bandar Thandwe, barat laut negara ini, malam tadi.
Menurut sumber keselamatan, keganasan agama terbaharu itu meletakkan situasi semasa bandar yang terletak 260 kilometer dari Yangon di wilayah Rakhine itu, menjadi tidak menentu selepas polis berjaya mengawal rusuhan yang mula tercetus, semalam.
Pengerusi Parti Islam Kaman, Kyaw Zan Hla berkata, kira-kira 200 orang pengikut Buddha menyertai rusuhan itu dengan ada di antara mereka yang memakai topeng dan membawa obor.
Jelasnya, beliau turut terlibat dalam pertengkaran selepas membantah tindakan seorang lelaki Buddha meletakkan motosikal di hadapan rumahnya kelmarin dan khabar angin mula merebak selepas itu dengan menyatakan beliau menghina agama Buddha.
"Kami sekarang ketakutan dan bersembunyi di dalam rumah kami, sama seperti yang berlaku sebelum ini,'' kata ahli politik Islam itu ketika dihubungi Reuters.
Zan Hla berkata, rusuhan semalam dipercayai berpunca daripada pertelingkahan kecil yang kemudian sengaja diperbesar-besarkan.
Sementara itu, polis berkata, tiada kematian atau kecederaan berlaku akibat rusuhan tersebut di bandar yang menempatkan lapangan terbang yang digunakan pelancong untuk melawat pantai popular Ngapali.
Pertempuran antara penganut Islam dan Buddha mengakibatkan sekurang-kurangnya 237 penduduk terbunuh, manakala lebih 150,000 penduduk kehilangan tempat tinggal sejak Jun tahun lalu. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131001/lu_02/Lagi-rusuhan-tercetus-di-Myanmar#ixzz2gSr9aw79
© Utusan Melayu (M) Bhd