Wednesday 17 July 2013

Myanmar janji bebaskan tahanan politik

Myanmar janji bebaskan tahanan politik
Dua aktivis memakai topeng muka Thein Sein dan Cameron sebagai provokasi agar pemimpin itu membebaskan tahanan politik serta pembelaan masyarakat Islam Rohingya.
LONDON - ENGLAND. Presiden Myanmar, Thein Sein, mengeluarkan kenyataan akan membebaskan semua tahanan politik sehingga akhir 2013 selain menyokong kemungkinan gencatan senjata buat pertama kali sejak enam dekad lalu.

"Sehingga penghujung tahun ini, tiada lagi individu yang menjalani hukuman penjara di bawah pertuduhan politik," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Britain, David Cameron, di London, kelmarin.

Dipetik PressTV, sekumpulan aktivis tempatan mengadakan protes selama dua hari ketika kedua-dua pemimpin itu berjumpa untuk membincangkan isu hak asasi kemanusiaan penduduk Asia.

Kira-kira 30 aktivis dari kumpulan Avaaz berhimpun di pekarangan Parlimen Britain dengan membawa kain rentang bertulis 'Cameron, don't let Burma become the next Rwanda', iaitu mengaitkan insiden pembunuhan beramai-ramai pada 1994.

Bagaimanapun, Thein Sein dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, beliau telah membubarkan pasukan keselamatan yang dituduh mencabuli hak asasi masyarakat Islam Rohingya di Rakhine, barat Myanmar.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 237 orang dilaporkan terbunuh di Myanmar membabitkan keganasan etnik sejak beberapa tahun lalu dan kira-kira 150,000 lagi menjadi pelarian. 

No comments:

Post a Comment